Welcome to My Website

Semua tulisan di dalam weblog yang diambil untuk paparan di mana-mana medium sama bercetak atau secara maya, hendaklah disertakan sekali pautan kepada weblog ini.
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

‘Amir Siddiqiy (عَامِر صِدِّيقِي)

Ditulis oleh kawakib_duriyah Jumaat, Disember 26, 2008 1 ulasan

Ramai bertanya tentang nama anak kami yang telah lahir 16 Disember lepas. Setelah mencari nama yang sesuai, kami bersetuju untuk menamakan anak ini dengan nama ‘Amir Siddiqiy (عامر صديقي). Pasti sesiapa pun akan bertanya, apa makna nama ini? Tetapi saya lebih suka orang bertanya, kenapa diletakkan nama ini? Eh! Mengapa mesti soalan begini? Tentu ada kisah disebalik nama ini. Biasanya sesetengah orang suka menamakan anak kerana maknanya yang baik, nampak moden dan kontemporari, atau mungkin nama datuk nenek yang banyak berjasa kepada masyarakat dan mungkin juga kerana tokoh-tokoh agamawan atau politik tertentu sama ada terkenal atau tidak.

Namun begitu saya memilih nama ini adalah kerana ia adalah nama para sahabat Nabi s.a.w. Wujudkah sahabat yang bernama ‘Amir Siddiqiy? Tidak. Ia adalah gabungan dari dua orang nama sahabat r.a. yang banyak menyumbang dalam gerakan perjuangan Islam. Tentu kita ingat peristiwa Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Baginda telah dibantu oleh beberapa orang sahabat r.a. melaksanakan perintah Allah s.w.t. itu. Antara yang utama ialah hampir seluruh keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.a. Di bawah ini dinukilkan riwayat peristiwa hijrah Nabi s.a.w. dari rumah Abu Bakr al-Siddiq r.a. Hadith ini adalah riwayat Aisyah r.a. yang direkodkan oleh oleh al-Imam al-Bukhari r.h. di dalam Sahih al-Bukhari;

‘Aisyah berkata: “Pada suatu hari ketika kami sedang duduk di dalam rumah Abu Bakar di tengah hari seseorang berkata kepada Abu Bakar: “Inilah Rasulullah s.a.w. (datang) dengan bertudung kepala - pada suatu waktu di mana beliau belum pernah mendatangi kami pada waktu (seperti) itu. - Abu Bakar berkata: “Sebagai tebusan bahaginya adalah ayah dan ibuku Demi Allah, beliau tidak datang pada saat seperti ini, kecuali ada sesuatu (urusan)". 'Aisyah berkata: "Rasulullah s.a.w. datang seraya minta izin. Lalu ia memberi izin kepada beliau dan masuk", Selanjutnya Nabi s.a.w. bersabda kepada Abu Bakar: "Keluarkanlah orang-orang yang ada di dekatmu". Abu Bakar menjawab: "Mereka hanyalah keluargamu, dengan ayahku engkau ditebusi, wahai Rasulullah". Beliau bersabda: "Diriku benar-benar diizinkan untuk keluar". Abu Bakar bertanya: "(Apakah termasuk) sahabat, dengan ayahku engkau ditebus, wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ya". Abu Bakar berkata: "Dengan ayahku engkau ditebus, wahai Rasulullah, maka ambillah salah satu dari dua untaku ini. Rasulullah s.a.w. bersabda: "(Tetapi harus) dengan harga".

'Aisyah berkata: "Lalu kami menyiapkan kedua unta itu dengan persiapan secepatnya. Kemudian kami membuatkan bekal untuk mereka berdua di dalam kantong. Kemudian 'Asma binti Abu Bakar memutus ikat pinggangnya dan mengikatkannya pada mulut kantong itu. Maka dengan demikian ia disebut dengan "Dzatun Nitaqayn" (wanita yang memiliki dua ikat pinggang).

'Aisyah berkata: "Kemudian Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar menyusul ke gua di gunung Thur, mereka bersembunyi di situ tiga malam. Abdullah bin Abu Bakar, seorang pemuda yang cerdik lagi cepat pemahamannya ikut bermalam di sisi mereka berdua. Ia keluar dari sisi mereka berdua pada waktu sahur, lalu pagi harinya ia berkumpul dengan orang-orang Quraisy di Makkah seperti layaknya orang yang bermalam. Ia tidak mendengar sesuatu (rahsia) yang akan memperdayakan mereka berdua, kecuali ia menjaganya sampai ia membawa berita itu kepada keduanya disaat malam mulai kelam. 'Amir bin Fuhairah -bekas hamba Abu Bakar - menggembalakan kambing untuk diperah susunya bagi keduanya, lalu ia menuntun kambing itu di dekat mereka berdua di saat sebahagian waktu Isya’ telah lewat. Maka keduanya bermalam dengan mendapat susu segar, -iaitu susu kambing perahannya dan susu yang dicelup batu panas, - hingga 'Amir bin Fuhairah menyeru pada kambing itu pada waktu menjelang fajar. Ia melakukan hal itu setiap malam selama tiga malam. Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar mengupah seorang lelaki Bani Daiyl, iaitu dari Bani 'Abd bin 'Adiy untuk menjadi pemandu yang ahli, padahal ia telah bersumpah pada keluarga 'Ash bin Wail al-Sanmiy. Ia adalah pemeluk agama orang-orang kafir Quraisy, namun mereka berdua mempercayainya. Lalu keduanya menyerahkan kedua untanya kepadanya dan menjanjikan dia di gua Thur setelah tiga malam dengan membawa kedua unta mereka pada subuh, hari ketiga. Dan berangkatlah 'Amir bin Fuhairah dan pemandu itu bersama mereka berdua (Nabi s.a.w. dan Abu Bakar). Lalu pemandu itu mengambil jalan pantai bersama mereka.

Takhrij : Hadith riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari. Direkodkan di dalam Kitab Manaqib al-Ansar, Bab Hijrah Nabi s.a.w. dan Para Sahabat Baginda ke Madinah, No. Hadith 3715.

Riwayat ini diambil dari matan yang panjang yang dinukilkan di dalam Sahih al-Bukhari. Dua nama yang telah dihitamkan itu adalah dua orang sahabat yang menemani Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Iaitu Abu Bakr al-Siddiq r.a. dan ‘Amir bin Fuhairah r.a. bekas hamba Abu Bakr r.a. Sempena tahun baru hijrah 1430H ini kami menamakan anak lelaki kami yang lahir ini dengan nama dua orang sahabat r.a. ini;

‘Amir bin Fuhairah r.a. + Abu Bakr al-Siddiq r.a. = ‘Amir Siddiqiy

Semoga semangat kedua sahabat r.a. ini membantu perjuangan Rasulullah s.a.w. meresapi ke dalam jiwa anak kami dan berusaha untuk memajukan diri, keluarga dan masyarakat. Amin...

Kasih hati kasih suci
Kasih Ilahi kasih sejati
Panahan kasih masuk diresapi
Ditapis iman ditapis ihsan
Mohon bertahan hingga ke mati
Mohon tersergam hingga syurgawi
Mohon dikasih ibu, ayah serta Ilahi
Tiada kasih ibu seperti
Kasih ayah tidak bertepi
Kasih Ilahi hingga abadi

“Ikhlas dari Ummi dan Abah untuk anak dikasihi ‘Amir Siddiqiy”

Kawakib Duriyah
25 Disember 2008, 10.00 malam
Tumpat, Kelantan

Pengalaman Pertama

Ditulis oleh kawakib_duriyah Rabu, Disember 24, 2008 1 ulasan

Pengalaman pertama saya melalui fasa hidup baru ini memberi pelbagai erti dan persepsi. Variasi situasi warna hidup mendapat perasaan yang bercampur-campur. Ada sedih dan pilu, ada teruja dan gembira. Saat berada di dalam labour room Dewan Bersalin, Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu melihat manusia berhempas pulas menyambung keturunan melahirkan zuriat. Hampir sehari suntuk berada di sisi isteri bersabung nyawa, menahan pedih hasil ubat induce yang dimasukkan oleh doktor sebanyak dua kali.


Selepas lebih dua belas jam berada di dalam bilik gelap itu, doktor memutuskan untuk membuat penbedahan ceaserean kepada isteri saya disebabkan kemungkinan untuk bersalin secara normal agak tipis. Ini kerana tekanan darah isteri agak tinggi dan tidak menentu. Sekiranya dibiarkan tentu akan menjadi kesan yang lebih buruk.


16 Disember 2008 pukul 1.30 pagi, isteri diangkut menggunakan ambulan terus ke Dewan Pembedahan Intan. Saya ke hulur ke hilir mencari arah yang tidak menentu kerana memikirkan nasib dua insan yang berada tidak di depan mata. Perasaan risau dan gundah lebih menguasai daripada perasaan teruja atau suka. Sambil berpusing-pusing mencari tandas awam untuk mengambil wudhu’, tanpa disedari air mata yang sekian lama bertakung di kelopak mata ini jatuh ke bumi jua. Mulut terkumat-kamit berdoa agar Allah s.w.t. mempermudahkan kelahiran ini. Diselang seli dengan membaca puisi yang sempat ditulis di dalam labour beberapa jam sebelum itu. Air mata ini tidak mahu berhenti menitis.


Alhamdulillah, datang seorang berpakaian serba putih menjerit, “Waris Husna Mohammad!” Ah!, aku tertidur rupanya sambil berlinang air mata. Jam dilihat sudah hampir 3.30 pagi. Saya meluru ke pengusung mendapatkan isteri. Lalu jururawat menghulurkan sesuatu yang dibungkus kemas, sambil berkata, “Pegang ini, ‘Sok’.” Sok dalam dialek Kelantan bermaksur uri janin bayi yang dilahirkan.


Saya merenung melihat isteri yang tersenyum. Senyumannya ketika itu antara yang paling manis saya lihat. Allah s.w.t. mahu memberi kami berdua ujian untuk dilanda bersama lagi. Terima kasih Tuhan. Hanya Engkau penulis skrip hidup kami. Kami semua cuma patung-patung yang diberi fikiran untuk memilih.


Tepat jam 2.18 pagi, seorang lagi umat Muhammad lahir ke dunia ini. Alhamdulillah, moga dia datang pada saat ini memberi seribu satu macam kenangan yang mendatang.

Kelahiran

Ditulis oleh kawakib_duriyah Sabtu, Disember 20, 2008 2 ulasan

Alhamdulillah, setelah enam hari di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu. Isteri saya selamat pulang selepas melahirkan bayi lelaki pada jam 2.18 pagi pada 16 Disember 2008. Kelahiran terpaksa melalui kaedah ceaserean disebabkan tekanan darah yang agak tinggi berjaya melahirkan bayi seberat 2.6kg.

Saya sendiri berada di dalam labour room selama dua hari bersama isteri untuk memberi sokongan sepenuhnya. Namun kelahiran ini terpaksa melalui cara pembedahan juga. Terima kasih atas doa semua. Di bawah ini adalah gambar orang baru dalam kehidupan saya dan isteri untuk tatapan saudara mara dan sahabat handai.

Pohon tamar digoncang Maryam
Kerna bakal yang bakal lahir itu menjadi pengugat zaman
Perit pedih sebuah kelahiran
Memberi erti seorang manusia lahir
Bukan seperti angin berlalu di pinggir pekan
Tetapi satu tujuan untuk menjunjung Risalah Tuhan
KepadaMu kumohon dipermudahkan sebuah kelahiran

Kawakib Duriyah
15 Disember 2008
Labour Room 16
Dewan Bersalin, Hospital Raja Perempuan Zainab
Kota Bharu

Aku akan berkahwin, Insya Allah...

Ditulis oleh kawakib_duriyah Khamis, Oktober 04, 2007 1 ulasan

Kepada semua kawan-kawan yang mengenali saya, tidak kira taraf kakak, abang atau adik, termasuk sanak saudara saya semua. Saya dengan rasa rendah diri ingin menjemput semua ke Majlis Kesyukuran sempena perkahwinan saya Oktober ini. Majlis ini akan diadakan pada 18 Oktober 2007M bersamaan 6 Syawal 1428H di rumah keluarga saya di alamat 239-B Jalan Pam Air Pelagat, Kampung Padang Landak, 22000 Jerteh, Terengganu.

Jika saudara-saudari jauh dari rumah saya, boleh juga datang ke rumah pengantin perempuan pada 15 Oktober 2007M bersamaan 3 Syawal 1428H di alamat Lot 3404 Jalan Masjid Kutan Tengah, Wakaf Bharu, 16250 Tumpat, Kelantan.

Di sini saya lampirkan kad jemputan untuk tatapan kawan-kawan semua. Kad untuk pengantin perempuan tidak ada, sebab dia tidak mahu. Saya pun tidak faham kenapa, tanya dia...hehehe

Kalau tidak jelas, sila klik pada gambar-gambar ini.


Audit Dalaman

Ditulis oleh kawakib_duriyah Ahad, Julai 01, 2007 2 ulasan

Setelah seminggu berlalu, saya langsung tidak mengemas kini laman ini. Bukan kerana tidak mahu, tetapi saya terlibat secara langsung dengan Audit Dalaman Universiti Malaya Bil. 8/2007. Saya bukan menjadi auditor, saya tidak berilmu dalam hal itu, saya cuma menjadi sekretariat bagi Bilik Gerakan Audit Dalaman tersebut. Setiap hari saya akan cuba memastikan perjalanan di dalam Bilik Gerakan berjalan lancar terutama apabila auditor ingin memasukkan laporan secara maya di dalam laman web QAMU.


Audit yang bermula dari 25 Jun hingga 2 Julai ini memberi saya sangat banyak pengalaman, ilmu dan maklumat. Kemahiran komunikasi saya yang semakin baik, berdepan dengan para akademis dan staf-staf universiti yang hebat belaka. Sekali-sekala terdapat juga kisah-kisah lucu yang berlaku. Biarlah ia menjadi kenangan dalam hidup saya selamanya.


Terdapat beberapa perkara yang ingin saya kongsi di sini. Sebenarnya audit dalaman ini sebenarnya telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. sendiri, diikuti oleh para Sahabat beliau yang diredhai Allah s.w.t. Saidina Umar r.a. pernah berkata, “Hitunglah diri kamu, sebelum kamu dihitung (oleh Allah di Akhirat nanti).” Hitung di sini bermaksud audit dalaman. Kita mesti selalu mengaudit dalaman kita, sama ada kita mengikut atau tidak Proses Teras (PT) dan Prosedur Kerja (PK) yang ditetapkan oleh Allah dan Arahan Kerja (AK) yang disusun oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Allah s.w.t. telah meletakkan di dalam PT-Nya bahawa setiap muslim mesti solat lima waktu sehari semalam. Pesuruh-Nya menetapkan Prosedur Kerja bahawa subuh ditunaikan ketika fajar shadiq terbit dan dilaksanakan sebanyak dua rakaat, beliau menunjuk ajar para sahabat r.a bagaimana pelaksanaan solat berkenaan dengan menetapkan Arahan Kerja, iaitu sebelum melaksanakan solat, hendaklah bersih dan hadas kecil dan besar dengan berwudhu’, begitulah seterusnya. Setiap PT, PK, AK ini mesti dipatuhi setiap hari dan ia mesti diaudit setiap hari, sama ada pelaksanaannya menepati PT, PK dan AK yang telah ditetapkan.


Kadang-kadang kita selalu lalai dari melaksanakan dengan betul PT, PK dan AK tersebut. Ini bermakna kita sudah tidak akur dengan sistem yang telah ditetapkan maka setelah dikenal pasti punca ketidakakuran tersebut ia perlu ditutup dan diselesaikan dengan taubat jangka pendek dan jangka panjang bagi mengelak ketidakakuran yang sama akan berulang kembali. Taubat jangka pendek ialah dengan qada’ atau mengganti kembali ketidakakuran yang telah kita lakukan. Manakala taubat jangka panjang pula, hendaklah kita mencari jalan penyelesaian dengan mewujudkan Senarai Semak yang jelas bagi mengenal pasti punca ketidakakuran tersebut.


Contohnya, jika ketidakakuran tersebut adalah tertinggal solat subuh pada hari X. Maka taubat jangka pendek dengan mengqada’ kembali solat subuh tersebut dengan segera. Manakala taubat jangka panjang adalah dengan mengenal pasti punca solat subuh pada hari X itu tertinggal. Jika disebabkan terbangun lewat kerana tiada jam loceng, maka kita mesti membeli jam loceng untuk mengelak ketidakakuran tersebut berulang kembali.


Sekian sahaja, pembentangan saya mengenai audit dalaman diri sendiri. Saya berharap semua dapat melaksanakan audit dalaman kita dengan jayanya, Insya Allah. :)


Allah jua yang Maha Sempurna

Aku gembira

Ditulis oleh kawakib_duriyah Khamis, Jun 21, 2007 0 ulasan

Hari ini aku gembira kerana kad matrik sarjana aku telah aktif untuk digunakan. Ketika waktu rehat tadi, aku ke Perpustakaan Pengajian Islam, Universiti Malaya. Aku telah meminjam sepuluh buah buku. Buku-buku yang aku pinjam adalah untuk menyiapkan disertasi sarjana.

Aku sangat gembira kerana menjadi pelajar sarjana, aku dapat meminjam dua puluh buah buku dalam satu masa dan tempohnya adalah satu bulan. Aku memang gembira kerana ada sedikit bahagia yang datang, mungkin kerana 'pari-pari' keampunan datang menghinggap di sudut kehidupan aku. Aku cuma bersangka sahaja.

Aku berterima kasih kepada orang-orang yang membawa asbab kepada aku untuk terus berjuang melawan kekejian diri yang merasukku selama ini. Kadang-kadang aku terfikir, kelakuan jahat yang kita lakukan secara sembunyi, semestinya diketahui oleh Allah dan malaikat-Nya. Tetapi untuk memberi kesedaran kepada kita, Dia membawa orang lain untuk menegur kita secara tidak langsung, di dalam keadaan orang itu tidak mengetahui sikap jahat kita.

Sesungguhnya Allah sahaja yang lebih mengetahui perkara ini. Sekarang aku sedar, walaupun ada ada sedikit gembira bertenggek di sudut masa kita. Tetapi kita mesti ingat, masih ada manusia yang yang merana walau pun dia telah berusaha untuk bahagia dan gembira. Mari kongsi bersama gembira kita, kerana gembira tiada stok yang boleh berkurang. Terima kasih Tuhan, kerana menciptakan aku dan mereka sebagai manusia.

Kualiti

Ditulis oleh kawakib_duriyah Khamis, Mei 31, 2007 0 ulasan

Saya sekarang baru lepas siap menolong semua boss-boss saya menyiapkan dokumen laporan untuk Anugerah Kualiti Perdana Menteri. Ia adalah salah satu anugerah yang tertinggi dalam pengurusan kualiti di Malaysia. Badan rasa agak letih. Kenapa mesti letih? Mungkin dengan letih itu, kita dapat menilai sejauh mana penghargaan kita sewaktu kita segar bugar.

Tentang kualiti di atas, saya cuma hanya berkongsi kata-kata Naib Canselor Universiti Malaya. Kata-kata ini, sering boss saya sebut di dalam ucapannya.

"Quality is a Journey, not a Destination"

Saya sendiri mungkin tidak begitu faham secara mendalam apa maksud sebenar kata-kata ini. I'm just want to share.


Sekian Lama.

Ditulis oleh kawakib_duriyah Rabu, Mei 30, 2007 0 ulasan

Sejak sekian lama saya tidak menjenguk blog saya yang masih kukuh terlekat di papan internet. Alhamdulillah syukur kerana segala maklumat masih ada bersama walaupun ia cuma biasa sahaja. Jadi saya ada melakukan beberapa perubahan pada blog, walaupun tidak menyeluruh paling kurang ia membetulkan kesalahan major yang berlaku.

Antara perubahannya adalah saya menerima nasihat Puan Ainon dari Universiti PTS supaya mengguna Bahasa Melayu Tinggi dalam apa jua penulisan. Jadi, segala tulisan saya sebelum ini yang berumur hampir dua tahun yang menggunakan Bahasa Melayu Rendah penuh dengan singkatan-singkatan akan dibetulkan dari semasa ke semasa. Terima kasih kepada Puan Ainon.

Selain itu, tambahan pautan ke laman-laman web kesukaan saya akan ditambah dari semasa ke semasa kerana saya mempunyai terlampau banyak laman web kegemaran.

Insya Allah, kita sama-sama berdoa agar segala apa yang berada di minda saya dapat dikeluarkan dengan selamat.